Majlis menandatangani MoU antara UKM dan wakil disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Jeil Pharmaceutical Co Ltd. di Parlimen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jeil Pharmaceutical Co Ltd. untuk menangani cabaran kenaikan kos perubatan. 

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, kerjasama strategik ini akan dapat mengurangkan kos perubatan di kedua-dua hospital pengajaran UKM – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK).

“Kenaikan kos perubatan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan banyak pihak dan sistem kesihatan di seluruh dunia. Salah satu strategi untuk membantu mengawal kos adalah dengan meningkatkan penggunaan ubat generik yang berkualiti tinggi.

“Melalui kerjasama ini, diharapkan lebih banyak hospital pengajaran bakal mengikuti langkah Fakulti Perubatan UKM untuk sama-sama menangani isu ini.

“Selain itu, MoU ini bertujuan untuk menyelaraskan pendaftaran ubat seperti yang digariskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk memastikan keselamatan, keberkesanan, dan kualiti produk farmaseutikal,” katanya. 

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan wakil dari Jeil Pharmaceutical Co Ltd. di Parlimen di sini hari ini.

Kerjasama dengan Jeil Pharmaceutical iaitu sebuah syarikat dengan pengalaman lebih dari 60 tahun dalam pembuatan farmaseutikal serta penyelidikan dan pembangunan dilihat sebagai satu langkah penting.

Mengulas lanjut, Mohd. Ekhwan menekankan bahawa kepakaran Jeil Pharmaceutical dalam menghasilkan ubat berkualiti tinggi untuk penyakit tidak berjangkit, antibiotik, dan terbaru, ubat-ubatan untuk rawatan kanser.

“Jeil Pharmaceutical bukan sahaja membekalkan ubat di negara Korea Selatan tetapi juga ke 32 buah negara lain di seluruh dunia dengan pendapatan jualan pada tahun 2022 adalah sebanyak RM2.5 bilion,” katanya.

Menurut beliau, strategi ini juga melibatkan pemegang saham terbesar UKM iaitu UKM Holdings, yang akan memainkan peranan penting dalam kerjasama ini.

“Saya berharap pendekatan kolaboratif ini dapat menyelaraskan proses, meningkatkan kecekapan, dan mengurangkan kos perubatan melalui sumber dan kepakaran yang dikongsi.

“Kerajaan, organisasi kesihatan, dan syarikat insurans sering menggalakkan penggunaan ubat generik berkualiti tinggi untuk membantu mengawal perbelanjaan kesihatan.

“Walau bagaimanapun, adalah penting untuk memastikan bahawa ubat generik memenuhi standard kualiti dan keselamatan yang sama dengan nama jenama asal mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast