Suspek ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga Nepal ditahan selepas dipercayai melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan dalam kejadian di Kompleks Bukit Jambul di sini semalam.

Suspek berusia 30-an yang tidak mempunyai dokumen itu ditahan 6.50 petang di bahagian belakang sebuah pasar raya di kompleks berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, hasil siasatan mendapati mangsa berusia tujuh tahun datang bersama ibunya untuk membeli barang di sebuah pasar raya dalam kompleks tersebut.

“Bagaimanapun, ketika mangsa beratur untuk membuat pembayaran di kaunter suspek bertindak bergesel dengannya dari belakang.

“Ibu mangsa yang tidak puas hati dengan perbuatan suspek bertindak memaklumkan kejadian kepada orang awam di lokasi sebelum mereka bertindak memukul suspek.

“Suspek melarikan diri ke arah belakang pasaraya berkenaan selepas orang awam mengejarnya namun dia berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya hari ini.

Tambah Razlam, suspek mengalami kecederaan di muka akibat insiden tersebut dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi rawatan lanjut.

Suspek direman selama tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial berhubung kejadian bersama beberapa keping gambar suspek dalam keadaan berlumuran darah dan duduk berhampiran longkang kecil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast