KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) hari ini mengumumkan penawaran hadiah keseluruhan bernilai RM360,000 kepada pelanggan Pajak Gadai Islam Bank Muamalat ( Muamalat Pajak Gadai-i) menerusi kempen Gadai Emas Menang Emas 2.0 (GEME 2.0)
Antara hadiah yang ditawarkan adalah barangan kemas bernilai sehingga RM100,000 dan satu gram Akaun Muamalat Gold-i (MG-i) untuk 50 pemenang bulanan yang terpilih sepanjang kempen berlangsung bermula 1 Mac hingga 31 Disember tahun ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, Muamalat Pajak Gadai-i bukan sahaja untuk memenuhi keperluan cagaran tunai segera tetapi juga dapat digunakan untuk penyimpanan emas.
“Kadar keuntungan yang dikenakan adalah di atas nilai pembiayaan bukan atas nilai emas yang dicagarkan. Ironinya, pelanggan akan menikmati kadar keuntungan lebih rendah berbanding penyedia pajak gadai Islam lain.
“Bagi lebih memudahkan pelanggan Maklumat Pajak Gadai-i juga menawarkan khidmat gadaian semua atas talian, dimana mereka hanya perlu menghubungi pegawai yang ditetapkan untuk meneruskan proses gadaian yang dipersetujui oleh pelanggan,” katanya dalam majlis pelancaran GEME 2.0 hari ini.
Menurut Khairul, kempen dijalankan untuk menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan perkhidmatan tersebut, menerusi 68 cawangan Bank Muamalat di seluruh negara. – MalaysiaGazette