KUALA LUMPUR – Wanita hendaklah diberikan hak serta peluang sama rata sama ada dalam bidang pendidikan, kerjaya mahu pun sebagai pembuat keputusan di negara ini.
Timbalan Setiausaha Agung PKR Pusat, Dr.Sathia Prakash Nadaraja berkata, pengorbanan golongan Hawa dalam kehidupan manusia demi memelihara dan menjaga keharmonian serta kesejahteraan institusi kekeluargaan umpama lilin perlu sentiasa diiktiraf dan dihargai.
“Wanita, kau bulan, kau juga suria. Wanita kerana keistimewaanmu, tergalas segala amanah di bahumu. Itu lirik lagu nyanyian Salmiah Hassan yang cukup sinonim dengan sambutan Hari Wanita Sedunia ini walaupun dicipta berpuluh tahun lalu ternyata masih kekal releven sehingga ke hari ini.
“Wanita hendaklah diberikan hak serta peluang yang sama rata sama ada dalam bidang pendidikan, kerjaya mahupun pembuatan keputusan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Penyelaras Parlimen Hulu Selangor itu juga menambah ada ketikanya, mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada tanggungjawab membesarkan anak sepenuhnya.
Jelas beliau, sekiranya melihat pada wanita yang berstatus ibu tunggal mereka bergelut dengan pelbagai cabaran dan tanggungjawab mereka terhadap masa depan anak dalam dunia yang penuh dengan ujian dan ledakan teknologi.
“Dengan mengangkat tema Wanita Dijulang, Negara Gemilang, ia wajar memberikan penekanan kepada pentingnya membentuk budaya inklusif dan kesaksamaan gender di semua lapisan masyarakat membabitkan kaum Hawa.
“Langkah demi langkah perlu disusun sebagai usaha untuk memperkasa dan memartabatkan golongan wanita di Malaysia tanpa membezakan latar belakang, etnik, bahasa, budaya, ekonomi sekali pun ideologi politik mereka,” ujarnya.
Tegas Dr Sathia, di negara ini wanita bukan dan tidak seharusnya dianggap sebagai individu sekadar pengisi kuota dalam sesuatu perkara.
“Kita perlu terus mendokong wanita dalam segala aspek agar mereka terus dihormati dan dihargai sumbangannya kepada keluarga, masyarakat dan negara serta di arena antarabangsa,” ujar beliau.- MalaysiaGazette