PETALING JAYA – Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berada di peringkat akhir, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kajian tersebut penting dalam meningkatkan kadar upah penjawat awam yang 10 tahun tidak dinaikkan.
“Kita sedang mengkaji dan saya akan bincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz supaya memberikan sedikit ruang dan kelonggaran,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024, malam.
Hadir sama adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Bulan lalu, Anwar berkata, sudah tiba masanya proses tersebut dipercepatkan bagi memberi manfaat kepada penjawat awam seluruh negara.
Jelas Anwar, penelitian tersebut akan diumumkan kerajaan akhir tahun ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) telah dikuatkuasakan sepenuhnya malah tribunal kepada akta tersebut akan bermula sebagai platform alternatif mengendalikan kes seumpama itu.
“Kalau kita tengok liputan media dan di media sosial, kadang-kadang perkara ini berlaku meluas.
“Gangguan kepada anak-anak, kes gangguan seksual dari keluarga, guru dari ustaz, ini berlaku,” kata dalam acara sama.
Justeru itu, beliau telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk lebih tegas dan pantas bertindak kepada mana-mana laporan yang dilakukan.
Katanya, pelaksanaan undang-undang tidak cukup sekiranya penguatkuasaan tidak berkesan.
“Saya berharap dengan jaminan Ketua Polis Negara, hal ini sekurang-kurangnya kita dapat tangani dengan sebaik mungkin.
“Memalukan bagi negara Madani yang masih bicara tentang nilai dan akhlak tapi masih ada laporan dan berita tentang gangguan seksual yang sangat menyakitkan,” katanya lagi.
Akta Antigangguan Seksual 2022 mendapat perkenan mantan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 8 Oktober tahun lalu dan diwartakan 18 Oktober tahun yang sama. – MalaysiaGazette