Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Kerajaan telah menghantar notis bagi menuntut penjelasan kepada dua agensinya, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang mengalami kerugian, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, notis selama dua minggu itu diberikan bagi mendapatkan keterangan penuh kedua-dua lembaga tersebut berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi tahun 2022 yang menjelaskan kedua-dua lembaga berkenaan mengalami kerugian.

“Ya (sudah beri notis), supaya ada penjelasan, keterangan penuh daripada LTAT (dan Felda) walaupun perkara ini daripada Audit 2022 tetapi kita (kerajaan) nak tentukan ada laporan lengkap supaya beberapa kelemahan diperbaiki dan ada apa-apa yang terlibat, yang agak kurang baik, terpaksa kita ambil tindakan.

“Saya minta laporan itu, kita beri mereka (Felda dan LTAT) notis sekurang-kurangnya dua minggu untuk kemukakan laporan penuh, dan Kabinet akan putuskan mengenainya,” katanya kepada media selepas selesai solat Jumaat di Surau Amaniah IPD Putrajaya petang tadi.

Sebelum ini, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi menerusi laporan berkenaan berkata LTAT menghadapi rizab negatif berjumlah RM0.388 bilion pada tahun 2022.

Malah dalam laproran sama, Felda turut mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.005 bilion.

Ditanya sama ada kerajaan mahu menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau laporan LKAN berhubung kedua-dua lembaga berkenaan, Anwar berkata, kerajaan mengambil jalan untuk meneliti terlebih dahulu laporan tersebut.

“Kita perlu teliti laporan LKAN itu, kemudian beri peluang kepada kementerian dan agensi bekaitan untuk mengemukakan penjelasan,” katanya. – MalaysiaGazette