Bangunan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 09 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menafikan laporan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pihaknya menghadapi rizab negatif sebanyak RM338 juta pada tahun 2022.

LTAT dalam satu kenyataan hari ini berkata, rizab negatif yang dibangkitkan dalam laporan tersebut hanyalah mewakili satu komponen sahaja iaitu Rizab Pendapatan Komprehensif Lain (Other Comprehensive Income).

“Rizab Gabungan LTAT terdiri daripada tiga komponen iaitu Kuntungan Tertahan, Dana Rizab dan Rizab OCI, yang secara bergabung mencerminkan kestabilan kewangan LTAT.

“Dana Rizab terus kekal tidak berubah dan ditetapkan pada kadar dua peratus daripada baki akaun pencarum lantas menyediakan asas kepada kestabilan kewangan.

“Rizab OCI pula terdiri daripada keuntungan/kerugian terkumpul aset yang belum direalisasikan yang dilabelkan mengikut piawaian perakaunan sebagai FVTOCI (Nilai Saksama Pendapatan Komprehensif Lain) mencerminkan turun naik dalam pasaran dan prestasi aset,” kata LTAT dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi menerusi laporan berkenaan berkata LTAT menghadapi rizab negatif berjumlah RM388 juta pada tahun 2022.

Malah Wan Suraya turut berkata, LTAT tidak membuat penjejasan nilai terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiari berjumlah RM0.812 bilion iaitu Boustead Holdings Berhad berjumlah RM0.768 bilion dan Pharmaniaga Berhad berjumlah RM0.044 bilion.

Perkara tersebut menyebabkan untung bersih dan pelaburan dalam syarikat subsidiari terlebih nyata berjumlah RM0.812 bilion.

Dalam pada itu, LTAT berkata, dua lagi komponen adalah keuntungan tertahan dan dana rizab yang mencerminkan kestabilan kewangan LTAT jika digabungkan.

Menurut LTAT, dana rizab terus kekal tidak berubah dan ditetapkan pada kadar dua peratus daripada baki akaun pencarum seterusnya menyediakan asas kepada kestabilan kewangan.

“Rizab OCI pula terdiri daripada keuntungan/kerugian terkumpul aset yang belum direalisasikan yang dilabelkan mengikut piawaian perakaunan sebagai FVTOCI (Nilai Saksama Pendapatan Komprehensif Lain), mencerminkan turun naik dalam pasaran dan prestasi aset.

“Sehubungan dengan itu, walaupun Rizab OCI menunjukkan nilai defisit, baki bersih Rizab Gabungan pada akhir Tahun Kewangan 2022 adalah positif berjumlah RM160 juta, peningkatan daripada tahun sebelumnya,” kata LTAT lagi.

Dalam pada itu, LTAT menambah, rizab gabungan pasca-dividen yang belum diaudit bagi tahun kewangan 2023 akan menunjukkan peningkatan, seterusnya mencerminkan komitmen LTAT terhadap perjalanan transformasi ke arah pengukuhan kedudukan kewangannya.

“Kedudukan rizab bersih yang positif ini membawa kepada nisbah solvensi buku melebihi 100 peratus, mengesahkan bahawa aset bersih pada nilai buku melebihi jumlah caruman pencarum.

“Ini menandakan keupayaan LTAT untuk memberi dividen kepada semua pencarum,” katanya.

LTAT turut menjelaskan berkenaan isu keuntungan bukan tunai yang menyumbang kepada pendapatan bagi tahun kewangan 2022, jika komponen untung bukan tunai ini diasingkan.

“LTAT masih dapat mengekalkan kadar solvensi tidak kurang daripada tahap ambang minima (threshold) seperti mana yang telah ditetapkan dalam polisi dividen.

“Sebagai sebuah dana persaraan, dividen yang diisytiharkan tidak melibatkan pengeluaran tunai secara terus dan hanya akan dikreditkan ke dalam akaun caruman ahli,” kata LTAT. – MalaysiaGazette