Wan Rosdy merasmikan Akademi Mineral Malaysia Pahang dan Program PRISMM 2024: Pahang Revitalizing Initiative For Sustainable Management Of Mineral Industry 2024 hari ini.

KUANTAN – Pahang meluluskan sebanyak 56 lesen Skim Pelombong Kecil (SPK) sejak 2022 bagi menghalalkan aktiviti melombong bahan mineral kepada pemilik tanah persendirian di negeri ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sudah peroleh pendapatan RM2.5 juta dalam tempoh kurang dua tahun lalu sejak ia mula diperkenalkan.

Wan Rosdy Wan Ismail

Menurutnya, langkah berkenaan diambil bagi mengekang aktiviti perlombongan secara haram dilakukan yang pelombong mengambil hasil mineral tanpa kebenaran.

“Pemilik tanah persendirian berhak melakukan kerja melombong tetapi perlu mengikut peraturan ditetapkan dengan mengemukakan permohonan.

“Kerajaan negeri tidak menghalang pemilik tanah untuk mendapatkan hasil tetapi perlu mengemukakan permohonan sebelum mengeluarkan bahan mineral di tempat mereka.

“Dalam Enakmen Tanah kerajaan negeri mengatakan apa jua hasil di bawah tanah adalah milik kerajaan,” katanya lagi.

Wan Rosdy berkata demikian selepas melancarkan Akademi Mineral Malaysia Pahang dan Program PRISMM 2024: Pahang Revitalizing Initiative For Sustainable Management Of Mineral Industry 2024 di sini hari ini.

Pemohon bagi pemilik tanah persendirian boleh mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian dan Pahang Mining Corporation. – MalaysiaGazette