Monday, December 16, 2024
Home Nasional PM arah tindakan segera susulan kejayaan lawatan ke Australia

PM arah tindakan segera susulan kejayaan lawatan ke Australia

Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia disifatkan amat berjaya kerana bukan sahaja menarik minat pelaburan sebanyak RM24.5 bilion malah mengembangkan pelaburan sedia ada.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia susulan hasil pertemuan dengan 20 syarikat negara berkenaan di Melbourne.

Justeru, menurut beliau, Anwar mengarahkan semua Jemaah Menteri supaya mengambil tindakan susulan dan menyegerakan beberapa perkara berkaitan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai.

“Selain itu, empat MoU dimeterai di Melbourne ini menunjukkan usaha bertambah baik dan cerah untuk kedua-dua negara dalam hubungan antarabangsa.

“Perdana Menteri juga memaklumkan kepada Kabinet mengenai beberapa tindakan susulan perlu diambil sama ada dari segi MoU atau niat pelaburan yang dinyatakan dan ini disampaikan serta menteri berkaitan sedia untuk membantu menyegerakan beberapa perkara,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.

Sementara itu, Fahmi turut ditanya mengenai kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa kebebasan media di Malaysia ‘semakin mati’ di bawah pimpinannya sebagai Menteri Komunikasi.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu hanya berdiam diri ketika wartawan Al-Jazeera diarah keluar dari Malaysia pada 2020.
“Saya masih ingat pada 2020, ketika wartawan Al-Jazeera diarah keluar dari Malaysia dan saya tidak mendengar suara dari Wan Saiful.
“Di mana dia ketika wartawan terbabit ditahan, disiasat, permit mereka ditarik balik dan dihalau?
“Di mana Wan Saiful ketika saya diserang di Parlimen kerana mempertahan wartawan Al-Jazeera pada 2021? Dia tiada di mana-mana,” katanya.
Semalam, Wan Saiful dalam kenyataan berkata, Fahmi tidak perlu menjadi ‘terpaling wartawan’ dengan cuba mengajar pengamal media mengenai peranan mereka.
Ia susulan dakwaan Fahmi bahawa kad akreditasi media yang dikeluarkan Jabatan Penerangan bukan lesen untuk mengamalkan kewartawanan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendakwa, Malaysia sedang menyaksikan “pembunuhan perlahan-lahan” terhadap reformasi berkaitan kebebasan media di bawah kepimpinan Fahmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast