Datuk Abdul Rashid Asari

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Kapar menjelaskan pihaknya tidak tahu menahu mengenai keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari yang menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Oleh yang demikian, Bersatu bahagian itu berkata, langkah yang dibuat bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu tersebut bersifat peribadi dan tidak mewakili bahagian Bersatu Kapar.

“Pimpinan Bersatu Bahagian Kapar tidak mengetahui dan tidak dimaklumkan berkaitan sokongan beliau kepada Amirudin Shari.

“Apa yang dilakukan Abdul Rashid adalah atas dasar peribadinya sendiri selaku ADUN Selat Klang dalam memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor dan bukan keputusan kepimpinan AJK Bersatu Bahagian Kapar,” kata timbalan ketua bahagiannya, Ahmad Halim Hussin dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Abdul Rashid mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Abdul Rashid berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti perkembangan semasa dan mengambil kira beberapa faktor utama dan dengan rela hati.

Beliau berkata, keputusan itu juga bagi memastikan kesejahteraan rakyat Selangor terutama penduduk di kawasan Selat Klang yang akan menerima manfaat daripada kerajaan yang stabil dan padu.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Halim berkata, pihaknya tidak akan menyokong tindakan Abdul Rashid dan akan terus kekal menyokong kepimpinan Bersatu.

“Kami yang terdiri daripada Pimpinan AJK Bersatu Bahagian Kapar dengan ini menyatakan bahawa kami masih kuat berpegang teguh dengan prinsip perjuangan Parti Bersatu yang dipimpin Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Bersatu Bahagian Kapar akan terus bergerak dan bekerja dalam gabungan Perikatan Nasional Parlimen Kapar dan Pusat,” katanya lagi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tahun lalu, Abdul Rashid memperoleh mandat sebagai ADUN Selat Klang bagi penggal kedua dengan majoriti 8,325 undi.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan dari 2013 hingga 2018. – MalaysiaGazette