Tantari dilamar oleh Molek fm dengan kerjasama Nova Music untuk merakam lagu sulung, “Rindu Hatiku Rindu” ciptaan komposer ternama, Eddie Hamid.

KUALA LUMPUR – Demam lagu Rindu Hatiku Rindu nyanyian penyanyi cilik, Tantari kini melanda industri seni suara dengan pencapaian kedudukan #1 Trending untuk muzik di YouTube selama 17 hari setakat ini.

Ini kerana sejumlah 1.6 juta tontonan untuk video muzik lagu tersebut selepas hanya tiga minggu dimuat naik ke YouTube.

Nama Tantari atau nama sebenarnya Naufal Azahel Mohd Alfian yang baru berusia enam tahun mula mendapat perhatian ramai apabila video persembahan dia menyanyikan  lagu popular 90 -an, Cinta Melankolia dendangan asal Allahyarham Aan dimuat naik ke akaun TikTok LoyyGoji pada 6 Januari lalu menarik lebih 300,000 tanda suka.

Siapa sangka berdasarkan lagu rock kapak itu, Tantari dilamar oleh Molek fm dengan kerjasama Nova Music untuk merakam lagu sulung, Rindu Hatiku Rindu ciptaan komposer ternama, Eddie Hamid manakala liriknya dihasilkan oleh Jaju dan Hakim Hakimi.

Dilancarkan pada 15 Februari lalu, lagu  yang melodinya seakan lagu era 90-an itu bukan sahaja trending di YouTube tetapi juga di TikTok dengan pencapaian tontonan video muzik lagu ini sebanyak empat juta di akaun TikTok HafizFeisal.

Pada waktu sama, lagu berentak pop rock itu juga sering diputar di corong radio Molek FM dan Hot FM.

Menurut Eddie, pertama kali menonton video tular Tantari menyanyi, beliau terus tertarik dan tahu lenggok lagu yang bagaimana penyanyi cilik itu sesuai membawakan sebelum lagu itu ditawarkan kepada Tantari oleh Abang Sham selaku orang kuat radio Molek FM.

Rindu Hatiku Rindu juga merupakan karya pertama Eddie yang dibuat khas untuk penyanyi kanak-kanak seperti Tantari yang lahir pada 23 April 2017.

“Saya lihat kelebihan Tantari terletak pada suaranya yang unik yang sesuai membawa lenggok lagu era 90-an. Kita juga perlu ketengahkan kanak-kanak yang berbakat sebagai pelapis penyanyi sedia ada.

“Walaupun dia masih kanak-kanak tapi saya tak ada masalah sewaktu membuat kerja-kerja rakaman di Studio NAR. Di studio, kami hanya mengambil masa kira-kira tiga jam untuk siapkan rakaman,” katanya.

Tantari baru menginjak usia tujuh tahun.

Tambah Eddie, dia tidak menyangka lagu nyanyian Tantari itu akan menjadi tular dan mendapat sambutan luarbiasa pendengar. Katanya, ini membuktikan bahawa walaupun zaman sudah berubah masih ramai yang meminati irama rock kapak.

Sementara itu, Tantari akan memulakan alam persekolahannya dalam Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Bandar Rinching, Semenyih, Selangor tahun ini.

Memandangkan Tantari masih di bawah umur, jadi lirik lagu yang ditampilkan tidak bolehlah keterlaluan sebaliknya perlu sesuai dengan usianya.

Mungkin ramai yang tak tahu bahawa Tantari sebenarnya mula menyanyi lagu-lagu kegemaran penggemar muzik dewasa  sejak berusia dua tahun.

Menurut bapanya, Mohd Alfian Bin Othman, bakat nyanyian Tantari dikesan sejak dia berusia dua tahun lagi dan lagu pertama yang dia nyanyikan di hadapan keluarga ialah lagu 60-an iaitu Oh Fatimah.

“Tantari mula berani menyanyi di hadapan orang ramai sewaktu berumur enam tahun apabila dia menyertai pertandingan nyanyian Idola Kecil mula-mulanya di peringkat pra-sekolah, kemudian ke peringkat daerah dan seterusnya mewakili negeri Selangor. Untuk ketiga-tiga peringkat ini, dia mendapat tempat pertama.

“Sebagai bapa, saya bersyukur sebab ramai yang suka dengan nyanyian Tantari. Kalau ikutkan, saya ni tak adalah suka menyanyi lagu rock kapak, ada lagu-lagu tertentu saja. Tantari suka menyanyi lagu berjiwa rock disebabkan saya ada bekalkan sound system di rumah orang kahwin.

“Jadi bila buat sound check dan latihan menyanyi di rumah, saya selalu aturkan lagu 80-an dan 90-an. Mungkin sebab saya selalu buka lagu-lagu sebegini membuatkan ia masuk ke dalam dirinya,” cerita Mohd Alfian Othman tentang minat anak sulungnya itu.

Sejujurnya, kata Mohd Alfian Otman yang juga guru silat itu tidak fikir panjang apabila mendapat tawaran daripada Eddie Hamid untuk merakan lagu buat anaknya.

“Saya terus terima sebab saya berani katakan yang anak saya mampu buat dan alhamdulillah diizin Allah dan sekarang inilah hasilnya. Dari sentuhan terbaik komposer terkenal seperti Eddie Hamid,” katanya.

Sementara itu, lagu Rindu Hatiku Rindu nyanyian Tantari kini boleh didengar di semua pelantar penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music manakala video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos. – MalaysiaGazette

Demam lagu Rindu Hatiku Rindu nyanyian penyanyi cilik, Tantari
kini melanda industri seni suara dengan pencapaian kedudukan #1 Trending untuk muzik di YouTube.