BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) melalui Pusat Pembelajaran Berterusan dan APEL (PPBA) berjaya menerima perakuan akreditasi penuh tanpa syarat daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) baru-baru ini.
UTHM menerusi kenyataan medianya berkata, ia bagi Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu untuk tujuan kemasukan (APEL.A) ke peringkat Ijazah Sarjana Secara Penyelidikan (APEL.A Tahap 7) dan Ijazah Kedoktoran Secara Kerja Kursus, Campuran dan Penyelidikan (APEL.A Tahap 8).
Perakuan akreditasi selama lima tahun itu bermula daripada 10 Februari 2024 sehingga 9 Februari 2029.
Ia sekali gus menjadikan UTHM antara universiti terawal menerima perakuan tersebut.
Sehingga kini, terdapat dua Pusat Penilaian APEL (PPA) yang telah diperakukan akreditasi oleh MQA bagi melaksanakan APEL.A Tahap 7 secara penyelidikan dan APEL.A Tahap 8.
Perakuan akreditasi ini membolehkan UTHM menilai calon APEL.A Tahap 7 yang ingin melanjutkan pengajian ke program ijazah sarjana secara penyelidikan dengan menggunakan sijil diploma, Sijil Tinggi Peperiksaan STPM atau yang setara.
Manakala bagi calon APEL.A Tahap 8 yang telah berjaya dalam proses penilaian akan melanjutkan pengajian ke program ijazah kedoktoran secara kerja kursus, campuran dan penyelidikan dengan menggunakan sijil ijazah sarjana muda yang berkaitan dengan bidang yang dipohon.
Perakuan akreditasi PPA APEL.A Tahap 7 secara Penyelidikan dan Tahap 8 itu membolehkan UTHM membuka peluang lebih luas kepada masyarakat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dengan menggunakan pengalaman dan kepakaran yang telah dimiliki dalam bidang pekerjaan di sektor industri serta perkhidmatan.- MalaysiaGazette