Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertemu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk menyerahkan pindaan perlembagaan parti itu Isnin depan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya berharap RoS akan dapat meluluskan pindaan yang akan membolehkan enam ahli Parlimen daripada Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengosongkan kerusi masing-masing.

“Pukul 10 pagi Isnin, saya sendiri dan Datuk Seri Hamzah Zainudin serta beberapa lagi kepimpinan Bersatu akan membawa keputusan pindaan parti yang dibuat pada perhimpunan khas.

“Kita akan jumpa dan berharap RoS akan beri pertimbangan yang adil dan beri kelulusan yang adil dan dapat beri kelulusan secepat mungkin, itu yang kita harapkan,” katanya dalam sidang media selepas berakhirnya Konvensyen Wakil Rakyat PN di Hotel Sunway Putra hari ini.

Bersatu pada 2 Mac lalu telah meminda perlembagaan parti itu dalam usaha untuk menghalang wakil rakyatnya berpaling tadah pada masa hadapan.

Keputusan itu dibuat dalam Perhimpuan Agung Khas Bersatu dengan perwakilan parti itu sebulat suara menyokong usul untuk meminda Perkara 10 perlembagaan partinya.

Artikel itu menetapkan perkara berkaitan peletakan jawatan dan pemecatan ahli parti.

Pindaan tersebut bertujuan menghalang mana-mana ahli Parlimen atau ADUN Bersatu menyokong musuh parti itu.

Dalam pada itu, Konvensyen Wakil Rakyat PN menggariskan 20 resolusi antaranya memperkukuhkan ekosistem pendidikan, memperkasakan perlindungan sosial, memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan parti anggota PN dan memperkasakan penyusunan strategi dan gerak kerja parti.

“Di dalam konvensyen ini banyak perkara dapat kita bincang secara lebih mendalam dan menyentuh semua aspek yang berkaitan parti, pentabiran kerajaan, peranan wakil-wakil rakyat dari peringkat Parlimen sehingga ahli dewan undangan negeri dan dewan negara.

“Ramai (wakil rakyat) yang mengambil bahagian. Kita yakin konvensyen ini  dapat memperkukuhkan kerjasama kita dalam PN dan apa yang kita putuskan dalam resolusi pada hari ini, akan diiktiraf sebagai asas dan teras dalam PN” katanya lagi. – MalaysiaGazette