KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 premis yang menawarkan perkhidmatan urut istimewa Thai Massage sekitar Bukit Bintang digempur Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman semalam.

Serbuan bersama JSJ Polis Kontinjen Kuala Lumpur itu dibuat pukul 3 petang hingga tengah malam tadi membabitkan seramai  11 pegawai dan 44 anggota polis.

Mereka menyerbu premis urutan refleksologi dalam kalangan warga asing serta disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral.

Bukit Aman memaklumkan hasil serbuan itu, seramai 10 penjaga premis dan 71 tukang urut ditahan sekitar Jalan Changkat dan Jalan Bukit Bintang.

“Dalam operasi ini pihak JSJ menahan seramai 48 wanita warga asing, dua wanita tempatan dan 21 lelaki warga asing yang dipercayai bekerja sebagai tukang urut.

“Turut ditahan dalam serbuan sama adalah 10 pengurus atau penjaga premis berkenaan yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki dan tiga wanita warga asing.

Sebahagian dari 71 tukang urut yang terdiri daripada wanita warga asing yang ditangkap dalam serbuan di rumah urut thai massage di Bukit Bintang semalam.

“Siasatan awal mendapati kesemua premis ini melakukan kesalahan menggajikan wanita dan lelaki warga asing tanpa sebarang permit sah yang dikesan berdiri di hadapan pintu premis sambil menawarkan khidmat urut kepada orang ramai dan pelancong asing yang lalu di hadapan premis mereka,” katanya.

Tambah Bukit Aman,  pemeriksaan lanjut juga mendapati lapan premis urutan beroperasi tanpa sebarang lesen perniagaan yang sah.

Malah JSJ juga tidak menolak kemungkinan bahawa pekerja urutan wanita warga asing yang berpakaian seksi turut menawarkan khidmat aktiviti tidak bermoral iaitu khidmat seks kepada pelanggan lelaki.

Siasatan  juga mendapati aktiviti urutan bermula pada 11 pagi hingga 4 pagi setiap hari ini menawarkan pakej urutan kaki dan badan dengan kadar RM60 hingga RM105 bagi setiap jam dan tambahan caj tertenti bergantung atas permintaan pelanggan.

“Malah kebanyakan tukang urut itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri semasa diperiksa malah ada juga wanita warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja sebagai tukang urut,” katanya lagi.

Sebahagian dari 71 tukang urut yang terdiri daripada wanita warga asing yang ditangkap dalam serbuan di rumah urut thai massage di Bukit Bintang semalam

Tegas Bukit Aman, dalam operasi sama polis turut membuat pemeriksaan ke atas 10 pelanggan rumah urut yang terdiri daripada lelaki dan wanita tempatan serta lelaki warga asing.

Pasukan serbuan juga merampas wang tunai sebanyak RM3,979, rakaman video kamera litar tertutup, modem  wifi, kertas jadual kerja tukang urut, risalah iklan, buku catatan hasil, minyak urut, tuala, tisu dan salinan lesen perniagaan.

Kesemua suspek yang ditahan sedang disiasat di bawah Akta Imigresen dam Seksyen 3 (1) Undang-undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016.- MalaysiaGazette