Foto Facebook KL Rovers.

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur (KL) Rovers FC mengesahkan telah memohon pertimbangan dan rayuan daripada pengendali liga bola sepak tempatan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk membenarkan mereka beraksi di Liga Super musim ini.

Pengurus pasukan, Fadzlie Ahmad memberitahu, pihaknya telah bersedia daripada semua aspek termasuk menghantar segala dokumen pelesenan kelab sebelum tarikh tutup permohonan.

“Mungkin penilaian daripada pihak MFL merasakan kami tidak layak namun jika ada kriteria yang tidak lengkap kami memohon agar diberikan ruang untuk memenuhinya sepertimana ruang yang diberikan kepada pasukan Perlis.

“Kami sudah menjadi naib juara Liga M3 selama dua tahun. Sudah tentu impian kami untuk bermain di Liga Super selepas itu,” katanya kepada Flash Sukan.

Ditanya mengenai perancangan pasukan jika tidak dapat bermain di Liga Super, Fadzlie yang dikenali sebagai Deto menambah KL Rovers telah memohon kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyertai Liga Premier Singapura.

“Bukanlah merajuk! Keutamaan kami adalah Liga Super Malaysia namun kami harus mempertimbangkan segala peluang yang ada,” kata Fadzlie.

Sebelum ini, media melaporkan KL Rovers membuat kejutan apabila dilaporkan bakal beraksi di Liga Singapura untuk musim 2024 menerusi satu surat rasmi yang tular di laman sosial semalam.

Menerusi surat yang bertarikh 7 Mac itu, KL Rovers menyatakan hasrat mereka untuk beraksi di Liga Singapura kepada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman. – MalaysiaGazette