Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Penilaian menyeluruh perlu dibuat terhadap ekosistem pendidikan vernakular yang kini merangkumi lebih 1,800 sekolah jenis kebangsaan dalam aspek keselarasan silibus, penerapan nilai-nilai kenegaraan dan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata,
selain itu, pihaknya mencadangkan kajian menyeluruh berhubung ruang dan peluang penambahbaikkan ekosistem pendidikan kebangsaan bagi memberi insentif dan tarikan kepada penyertaan murid berbilang bangsa.

Selain itu, menurutnya, peta jalan jangka sederhana dan panjang ke arah model integrasi pendidikan di atas pasak kebersamaan nilai dan semangat kekitaan di antara rakyat berbilang bangsa tanpa menyisihkan hak kaum-kaum di Malaysia untuk memelihara warisan bahasa ibunda masing-masing perlu diadakan.

Pihaknya mencadangkan agar dihidupkan kembali suatu ruang dialog nasional bagi Malaysia meneroka wawasan baharu ke arah integrasi pendidikan negara dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

“Pergerakan Pemuda UMNO melihat dengan penuh khuatir akan perkembangan polemik mutakhir ini yang telah menambah api perpecahan yang sedang marak.

“Sesungguhnya, segala apa yang terjadi ini adalah suatu cerminan betapa setelah hampir 70 tahun kemerdekaan dicapai, masih wujud suatu jurang nilai dan pemisahan persefahaman di antara rakyat Malaysia yang berbilang bangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Pergerakan Pemuda UMNO berpandangan ketegangan yang kian melarat itu berakar daripada sistem pemisahan dan pengasingan yang dilaksanakan bermula di peringkat paling asas kehidupan rakyat iaitu sejak dari bangku
sekolah.

“Sudah tiba masa dan ketikanya untuk Malaysia menoktahkan pemisahan dan pengasingan itu.

“Menginsafi kerumitan, sensitiviti dan polemik yang melingkari isu ini, kerajaan tidak mempunyai pilihan melainkan untuk menerajui usaha ini bagi memastikan ia diurus dalam kerangka yang penuh cermat, di luar pengaruh sentimen, syak wasangka dan hasutan.

“Sesungguhnya tidak ada jalan pintas ke arah mencapai perpaduan – ia adalah suatu jalan yang panjang, berliku-liku dan mencabar, tetapi ia mesti dimulakan dengan langkah pertama,” ujarnya.

Warisan teragung negara ini adalah keharmonian dalam kepelbagaian bukan perpecahan dan pemisahan, kata Dr Akmal.

“Perpaduan rakyat Malaysia harus bermula dari pendidikan. Ini masanya untuk menyatukan bukan memisahkan,” katanya. – MalaysiaGazette