Pengerusi Perikatan Nasional dan juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto FAREEZ FADZIL, 02 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari partinya menafikan akan mengikut jejak ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Muhyiddin berkata, mereka akan tetap bersama beliau walaupun terdapat desas-desus akan ada lagi ADUN yang akan menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari selepas Abdul Rashid.

“Banyak yang datang jumpa saya daripada (ADUN) Selangor tadi saya bukan (nak tarik sokongan) kata mereka tidak nak mengaitkan kedudukan mereka dengan apa yang dibuat oleh ADUN Selat Kelang.

“Di peringkat Parlimen pun tidak ada cerita apa nampak kedudukan kita masih kukuh dan kita sudah meluluskan pindaan perlembagaan itu bermakna sudah bagi satu isyarat yang besar kepada semua dan dalam kalangan kita dan lain lain tentang langkah ynag diambil oleh parti Bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berakhirnya Konvensyen Wakil Rakyat PN di Hotel Sunway Putra hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Untuk rekod, PN mempunyai 22 ADUN yang terdiri daripada Bersatu 12 dan Pas 10.

Rabu lalu, Abdul Rashid berkata, keputusannya menyokong Menteri Besar Selangor dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan setelah meneliti titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran kerajaan negeri berada di landasan tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Terdahulu Muhyiddin berkata, PN akan memperkasakan hubungan masyarakat majmuk dengan berlaku adil dan prihatin kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan golongan.

Gabungan itu juga akan memberi fokus menarik sokongan bukan melayu dan jika  jumlah itu dapat ditingkatkan lima hingga 10 peratus tidak mustahil mereka dapat menyapu bersih  hampir semua kerusi campuran dalam Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU-16).

“Kita harus mencari jalan dan ikhtiar bagaimana untuk kita dapat menarik sokongan daripada kaum Cina, India dan lain-lain. Orang Melayu, sokongan Melayu itu boleh dikatakan adalah amat baik.

“Saya pernah berbincang (Presiden Gerakan) Dominic tentang apa strategi rakan-rakan kita yang lain yang kita harap dapat membantu meningkatkan sokongan kaum bukan Melayu kepada PN.

“Kita kena bentuk sebuah imej baru dengan pendekatan cara baru yang boleh meningkatkan keyakinan dan sokongan orang Cina kepada PN.

“Apa isu-isu utama yang mungkin menjadi perhatian mereka kefahaman mereka tentang cara kita bekerja dalam PN,” katanya dalam ucapan penggulungan Konvensyen Wakil Rakyat PN hari ini. – MalaysiaGazette