SINGAPURA – Ratu pecut Singapura Shanti Pereira dan sembilan lagi wanita pada Jumaat tersenarai dalam Singapore Women’s Hall of Fame (SWHF), bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa.
Pemegang rekod acara 200m wanita Sukan SEA yang berusia 27 tahun itu tersenarai bersama-sama ikon boling Grace Young-Diao; Grandmother of Singlish Sylvia Toh Paik Choo; pendidik, pengarang, dan penyair Hadijah Rahmat; dan penyampai berita televisyen Tan See Lai.
Turut tersenarai, pendaki dan atlet sukan lasak Sim Phei Sunn dan Vincere Zeng; aktivis alam sekitar, Kirtida Mekani; pelopor industri kreatif Asia Linda Locke; dan perintis konsep panjang umur Mary Ann Tsao.
Pemilihan 10 wanita itu menjadikan setakat ini terdapat 192 penerima tersenarai dalam SWHF, menurut penganjur, Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) dalam satu kenyataan.
Penyampaian trofi The Flame disempurnakan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam dalam satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
SWHF mula diperkenalkan sejak 10 tahun lalu yang bertujuan mengiktiraf dan menghargai pencapaian cemerlang yang dicapai oleh kaum wanita dalam pelbagai bidang sekali gus dapat memberi inspirasi kepada orang lain.
Sementara itu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam catatan di Facebook berkata sejak Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura diterbitkan dua tahun lalu, wanita telah mencapai kemajuan ketara dalam pelbagai bidang seperti peluang penjagaan, sokongan penjagaan serta perlindungan terhadap keganasan dan bahaya.
“Meskipun begitu wanita masih menghadapi rintangan atau kesulitan dalam beberapa bidang dan kita harus menangani hal ini. Wanita atau lelaki, muda mahupun tua – kita semua mempunyai peranan dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan lebih adil,” katanya. – BERNAMA