Dr Anuar Ahmad. Foto SYADILA AMARI, 06 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Reformasi pendidikan dilaksana tiga tahun lagi dengan menumpukan pendidikan awal kanak-kanak perlu kerana mereka yang tidak mendapat pendidikan itu akan ketinggalan kerana tidak mempunyai kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira).

Timbalan Pengerusi Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, Dr Anuar Ahmad berkata, kalau kita mengambil contoh daripada negara maju seperti England, mereka sendiri memulakan persekolahan mereka pada usia lima tahun.

“Begitu juga negara-negara maju yang lain di mana mereka seboleh mungkin memulakan sistem pendidikan itu di awal kerana mereka tidak mahu ketinggalan daripada segi memberi pendidikan asas kepada anak-anak,” katanya menerusi Program SKOP MG bertajuk KEB 2024: Bersediakah Pendidikan Terima Perubahan?

Apabila ditanya tentang silibus pelajaran yang tidak setara, Anuar berkata, berdasarkan laporan Bank Dunia pada bulan Mei 2023, tahap pendidikan prasekolah di Malaysia belum begitu memuaskan.

“Di dalam perbincangan kami dengan pihak pengusaha sekolah swasta, mereka memaklumkan silibus prasekolah tidak dijajarkan dengan tahun satu.

“Masalah silibus ini adalah perlunya keselarasan daripada prasekolah hingga ke tahun satu, tahun dua dan sebagainya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai peluang dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), beliau berkata, 3M perlu dikuasai dengan baik sekiranya pelajar mahu menyambung pelajaran sama ada dalam aliran akademik atau TVET.

Anuar berkata, ibu bapa mesti membuka minda anak-anak mereka bahawa TVET adalah pilihan yang terbaik.

“Kadar kebolehpasaran graduan di universiti-universiti teknikal ini tinggi malah ada yang lebih tinggi berbanding universiti-universiti yang bersifat akademik.

“Peluang sangat cerah dan majikan kebanyakannya memilih mereka yang mempunyai hands on, kemahiran-kemahiran segera yang boleh digunakan dalam industri,” katanya lagi,

Tambah Anuar, satu lagi perbincangan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di bawah resolusi Kluster Reformasi Pendidikan adalah laluan bakat.

“Kita tahu bahawa ada anak-anak kita yang mungkin tidak begitu kuat dari segi akademik, tidak berkemahiran dari segi TVET tetapi mereka mempunyai bakat-bakat,” jelasnya.

Menurut Anuar, sistem pendidikan di Malaysia belum melihat bakat itu sebagai aliran yang menjamin masa depan.

“Kalau kita lihat dalam dunia sebenar, mereka yang mempunyai bakat dalam seni melukis, grafik, bersukan, seni suara ini boleh berjaya dengan baik.

“Kita tidak mahu kalau boleh seorang pun keciciran.

“Saya fikir, kita harus lebih terbuka dari segi menerima bakat itu sebagai salah satu cara pendidikan itu berkembang,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pencapaian akademik masih lagi penting.

Bercakap tentang beban guru, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata, majoriti guru terbeban dengan segala urusan yang tidak ada kena-mengena dengan pelajaran.

Beliau menambah, guru hanya mahu mereka diberi peluang untuk menjadi pendidik sebena bukan mahu beban mereka dikurangkan.

“KEB 2024 itu bukan penamat kepada usaha untuk memajukan sistem pendidikan tetapi pemula untuk usaha ini,” katanya – MalaysiaGazette