Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman empat orang pengarah syarikat kerana disyaki memberi wang suapan berjumlah kira-kira RM230,000 yang dibayar secara pindahan dalam talian dan mesin wang tunai ke akaun pegawai majlis perbandaran.

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman empat orang pengarah syarikat kerana disyaki memberi wang suapan berjumlah kira-kira RM230,000 yang dibayar secara pindahan dalam talian dan mesin wang tunai ke akaun pegawai majlis perbandaran.

Perintah reman selama lima hari yang bermula 9 hingga 13 Mac 2024 bagi suspek pertama, kedua dan keempat manakala perintah reman selama enam hari bermula dari 9 hingga 14 Mac 2024 ke atas suspek ketiga telah dikeluarkan oleh Majistret Tuan Arif Danial Shah Shahril Noor selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.

Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki berusia antara 30 sehingga 40-an dipercayai telah melakukan kesalahan tersebut dari tahun 2020 hingga 2023 sebagai balasan perlantikan keempat-empat syarikat tersebut bagi kerja-kerja kontrak pembersihan yang bernilai kira-kira RM2 juta.

“Kesemua suspek telah ditahan kira-kira 7.30 malam semalam sehingga 2 pagi hari ini ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor, “ katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Sekyen 17 (b) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette