BELURAN – UMNO Sabah akan konsisten dengan slogannya iaitu Bersatu, Bersetia, Berkhidmat untuk meneruskan khidmat bakti kepada rakyat di negeri itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata justeru itu, ia perlu bangkit demi membela rakyat sehingga berupaya mengubah kehidupan mereka ke arah yang terbaik.
“UMNO perlu bangkit memperbetul keadaan ini, rakyat memerlukan pembelaan sewajarnya bukan ditaburkan dengan janji namun keadaan tetap tidak berubah,” menurutnya dalam kenyataan sempena program Jelajah Akar Umbi UMNO Sabah, yang dikenali sebagai Gerak 17, di sini hari ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata parti hanya akan menjadi kuat jika semua ahlinya bersatu padu selain tidak ‘menembak’ sama sendiri.
“Letaklah kepentingan parti sebagai nombor satu supaya survival parti akan lebih terbela pada masa depan dengan iltizam serta semangat bekerja berpasukan, gerak kerja tersusun dan strategi yang tepat untuk mencapai kejayaan,” katanya.- BERNAMA