ISTANBUL – Amerika Syarikat (AS) menafikan penglibatannya dalam pembunuhan lima rakyat Palestin yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan apabila beberapa payung terjun jatuh dari pesawat gagal dibuka di barat laut Gaza pada hari Jumaat lalu.
“Kami mengetahui laporan orang awam terbunuh akibat bantuan kemanusiaan namun ia bukan disebabkan bantuan yang dijatuhkan,” kata Komando Pusat AS (CENTCOM) dalam satu kenyataan bagi menzahirkan simpati kepada keluarga yang terbunuh.
Perkhidmatan Pertahanan Awam Palestin hari Jumaat lalu memaklumkan lima orang terbunuh dan beberapa lagi cedera akibat peti bantuan yang dijatuhkan di bandar Gaza menghempap mereka.
Mereka terbunuh selepas payung terjun yang membawa palet bantuan tidak dapat berfungsi dengan baik.
Saksi berkata, kemalangan itu berlaku pada pagi Jumaat berhampiran kem pelarian pantai yang dikenali sebagai al-Shati, salah satu bahagian paling musnah di Gaza.
Mangsa dibawa ke hospital al-Shifa di Kota Gaza, kata ketua jururawat bilik kecemasan, Mohammed al-Sheikh.
Seorang saksi dari kem itu berkata ,dia dan abangnya telah mengikuti bantuan payung terjun itu dengan harapan mendapat “sebungkus tepung”.
“Kemudian, secara tiba-tiba, payung terjun itu tidak terbuka dan jatuh seperti ‘roket’ di atas bumbung salah satu rumah. Dalam 10 minit kemudian saya melihat orang ramai memindahkan tiga syuhada dan yang lain cedera,” ,” kata Mohammed al-Ghoul.
AS dan Jordan adalah antara negara yang telah melakukan bantuan udara di utara Gaza, yang mana ratusan ribu orang menghadapi kebuluran selepas lima bulan berperang. – Agensi