KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan kualiti peraturan melalui pelaksanaan platform MyMudah bagi melonjakkan produktiviti, daya saing dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, melalui platform yang diusahakan MPC dengan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) tersebut, ekosistem perniagaan yang lebih kondusif dapat diwujudkan ke arah pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pelaburan berimpak tinggi di Terengganu.

“Pelaburan, sama ada domestik atau dari luar negara, memberi kesan yang signifikan kepada pendapatan negeri, peningkatan taraf sosioekonomi setempat dan penciptaan peluang pekerjaan baharu,” katanya ketika berucap pada Persidangan MyMudah 2024 Peringkat Negeri Terengganu di sini hari ini, yang dirasmikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Majlis yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Zahid Ismail itu turut menyaksikan pelancaran Garis Panduan MyMudah dan Pelesenan Negeri Terengganu, Artificial Intelligence (AI) untuk MyMudah serta penyampaian Sijil Penubuhan Unit MyMudah.

Tengku Farok Hussin berkata, selaras dengan hasrat MPC untuk membantu mewujudkan mekanisme yang lebih telus dalam proses pengurusan permit dan lesen, kerajaan negeri bersama-sama pihak berkuasa tempatan telah memberikan komitmen dalam projek penambahbaikan Garis Panduan Pelesenan Perniagaan yang dapat menyumbang ke arah ekosistem perniagaan yang lebih kondusif di Terengganu.

Beliau berkata, MyMudah bertindak sebagai platform untuk industri menyalurkan maklumat, cadangan, dan pandangan berkaitan isu-isu kerenah birokrasi dan beban peraturan yang tidak wajar.

“Kami sedia maklum bahawa terdapat banyak peraturan dan garis panduan di peringkat kerajaan negeri dan PBT yang perlu dipatuhi oleh peniaga. Justeru, melalui Unit MyMudah, industri boleh berhubung secara langsung dengan pihak berkuasa berkaitan serta bekerjasama dalam menyelesaikan isu dan cabaran peraturan perniagaan tanpa perlu melalui banyak kerenah birokrasi,” katanya.

Beliau berkata, ia sekali gus akan menambah baik penyampaian peraturan oleh pengawal selia dan agensi kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) agar lebih telus, cekap dan berkesan.

Tengku Farok Hussin berkata, MyMudah juga membantu penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemudah cara perniagaan melalui pendekatan yang lebih bersepadu, berstruktur dan berasaskan bukti.

Dalam pada itu Zahid ketika berucap pada Majlis Penutupan Persidangan MyMudah 2024 Peringkat Negeri Terengganu berkata MPC menyeru agar platform MyMudah digunakan sepenuhnya bagi menyelesaikan isu dan cabaran dalam penyampaian peraturan perniagaan, yang seterusnya akan memberi kesan positif bukan sahaja kepada pemain industri malah kepada pengawal selia dalam melaksanakan peraturan dengan lebih cekap.

“Negeri mampu menarik lebih ramai pelabur berimpak tinggi apabila urusan dan operasi perniagaan dipermudahkan. MPC yakin pelaksanaan MyMudah di seluruh negara akan meningkatkan produktiviti dan daya saing yang dapat meningkatkan kualiti kehidupan lebih baik dan sejahtera,” katanya.

Terdahulu persidangan yang dihadiri 300 peserta daripada kerajaan negeri, PBT, kerajaan Persekutuan dan persatuan perniagaan hari ini menyaksikan Tengku Farok Hussin menerima Anugerah Tokoh Produktiviti atas kepimpinan dan komitmen beliau dalam memastikan urusan menjalankan perniagaan di Terengganu mudah dengan disokong dasar properniagaan. – BERNAMA