KUALA LUMPUR – Waktu bekerja penjawat awam negeri Pahang pada setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan tahun ini ditetapkan sehingga jam 12.30 tengah hari.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penetapan waktu bekerja ini adalah selaras dengan titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah.

Menurutnya, penetapan ini turut melibatkan semua jabatan negeri, pejabat-pejabat daerah dan tanah, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri.

“Di kesempatan ini, patik merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mula Tuanku atas keprihatinan dan kecaknaan terhadap kesejahteraan patik-patik sekalian.

“Patik pacal-pacal Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga akan terus beriltizam untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan juga Negeri Pahang Darul Makmur demi kemakmuran bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette