Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media pada program jelajah Bpn Selangor dan Adun Bersatu bahagian Tanjong Karang di Warung Nasi Lemak Pak Anjang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 10 MAC 2024.

KUALA SELANGOR – Perikatan Nasional (PN) memberi amaran kepada kerajaan agar tidak mencampuri urusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dalam permohonan Bersatu untuk membuat pindaan Perlembagaan parti itu, Ahad lalu.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana pindaan Perlembagaan bukan sesuatu yang luar biasa dan RoS tidak sepatutnya melengah-lengahkan permohonan Bersatu itu.

“Kita sedang mendesak RoS menyegerakan kelulusan sebab ini bukan satu perkara luar biasa.

“Pindaan Perlembagaan Bersatu itu satu perkara yang straight foward yang sepatutnya diberi kelulusan segera.

“Sekiranya berjalan baik tanpa sebarang gangguan daripada pihak Eksekutif, saya percaya RoS akan bersikap profesional untuk meluluskan pindaan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama pimpinan PN menghadiri Program Jelajah BPN Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu, Bahagian Tanjong Karang di sini, tengah hari tadi.

Ahad lalu, Perhimpunan Agung Khas Bersatu meluluskan pindaan Fasal 10 Perlembagaan parti itu susulan tindakan enam ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pindaan itu melibatkan tiga perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti iaitu dengan memasukkan tambahan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.

Fasal 10.4 memperuntuk mana-mana ahli Bersatu yang merupakan wakil rakyat di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Negeri yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi selari dengan Fasal 10.5 disifatkan terhenti keahliannya daripada parti itu secara serta-merta.

Perkara 10.5 pula menyatakan Majlis Pimpinan Tertinggi boleh mengeluarkan arahan khusus kepada mana-mana atau semua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat atau DUN atau Dewan Negeri dan ia hendaklah dibuat secara bertulis.

Perkara 10.6 merujuk kepada Fasal 10.4 iaitu Setiausaha Agung, atas arahan Majlis Pimpinan Tertinggi, hendaklah mengeluarkan notis kepada ahli berkenaan yang memaklumkan bahawa keahlian beliau telah terhenti secara serta-merta dan namanya dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian parti.

Pindaan itu dibuat selepas enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Khamis lalu, seorang ADUN Bersatu, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Tambah Mohamed Azmin, RoS perlu menyegerakan pindaan Perlembagaan Bersatu bagi membolehkan mandat rakyat dikembalikan kepada pengundi untuk menentukan masa hadapan enam Parlimen dan satu DUN khususnya Tanjong Karang.

“Dengan pindaan ini, kita percaya mandat rakyat akan dikembalikan untuk menentukan masa depan Tanjong Karang,” katanya.

Mohamed Azmin turut mengesahkan dokumen mengenai pindaan Perlembagaan Bersatu itu akan dihantar Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin kepada RoS, pada Isnin ini.

“Ia akan dihantar esok, sebab bila selesai Perhimpunan Agung Khas, kita ada dokumentasi yang perlu disiapkan oleh pejabat SUA Bersatu dan esok kita akan kemukakan.

“Ini satu pindaan biasa dan ada hanya tiga tambahan sahaja kepada Perkara 10 dalam perlembagaan parti, bukanlah satu perkara luar biasa yang tidak boleh diberi perhatian dalam tempoh masa singkat.

“Saya yakin dengan tahap professional RoS untuk bertindak secara bertanggungjawab dan profesional,” katanya lagi. – MalaysiaGazette