Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan hari ini mengadakan lawatan kerja rasmi ke Sabah bagi melihat dan melawat tapak pengeluaran rumpai laut di Semporna.

KUALA LUMPUR – Rumpai laut negeri Sabah telah menyumbang kira-kira 54% daripada pengeluaran akuakultur nasional.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, pada tahun 2023, pengeluaran rumpai laut negeri Sabah dianggarkan sebanyak 225,048 tan metrik (berat basah) dengan nilai RM100 juta berbanding pengeluaran 307,972 tan metrik (berat basah) dengan nilai RM247.105 juta pada tahun sebelumnya yang melibatkan seramai 1,555 pengusaha dengan keluasan 4,464 hektar.

Kawasan utama ternakan ialah Semporna (1,985 hektar, pengeluaran 97.52%), Tawau (447 hektar, pengeluaran 2.38%), Kunak (55 hektar, 0.08%), Lahad Datu (510 hektar, 0.2%) dan Kota Belud (8 hektar).

Menurutnya, negeri Sabah merupakan pulau ketiga terbesar di dunia, mempunyai kawasan seluas 72,500 kilometer persegi, dikelilingi oleh Laut China Selatan di bahagian Barat, Laut Sulu di bahagian Timur Laut dan Laut Celebes di bahagian Timur.

Negeri ini juga berada dalam lingkungan Segitiga Batu Karang (Coral Tiangle) yang merupakan kawasan biodiversiti tinggi.

Memiliki perairan yang luas dan terlindung dari ombak kuat serta subur, Sabah adalah penyumbang utama kepada pengeluaran rumpai laut negara melalui aktiviti
akuakultur.

Spesies utama yang diternak di perairan di Sabah ialah Kappaphycus dan Eucheuma, kata kementerian tersebut. – MalaysiaGazette