Dr Zaliha Mustafa bersama Jeff Lee menunjukkan sijil pengiktirafan dari Malaysia Book of Records pada majlis pelancaran ‘Biggest Musical Water Fountain With Projection Mapping’ di 99 Wonderland Park, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 09 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Warna warni serta kepelbagaian keindahan flora dan fauna di Taman Rekreasi 99 Wonderland Park dengan keluasan lebih 23 ekar yang terletak di Selayang telah berjaya mencuri hati Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa.

Dr Zaliha kelihatan begitu teruja dengan taman rekreasi itu yang diasaskan oleh Datuk Seri BK Jeff Lee sehingga telah menghabiskan masa lebih empat jam di 99 Wonderland Park petang semalam.

Beliau tidak menyangka adanya sebuah taman reakreasi ‘wilflife in the city’ di kawasan Kuala Lumpur dengan pelbagai binatang eksotik terkemuka.

“Saya memang tidak menyangka sebenarnya. Saya hadir ke sini selepas dijemput oleh Datuk Seri Jeff, apabila berada di sini, saya sedar terlalu banyak produk-produk pelancongan terutamanya dalam kawasan Kuala Lumpur kita boleh promosi dalam bentuk pelancongan.

“Di sini rupanya ada taman ‘wild in the city’, banyak haiwan, reptilia bukan sahaja tempatan sebaliknya dari luar juga termasuklah spesis yang jarang ada. Menarik juga apabila kelihatan air pancut animasi 3D,” katanya. ketika ditemui media sejurus selepas persembahan air pancut muzikal animasi 3D pertama di negara ini,

Antara animasi yang dipaparkan pada majlis pelancaran ‘Biggest Musical Water Fountain With Projection Mapping’ di 99 Wonderland Park, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 09 MAC 2024.

Sementara itu, Jeff Lee yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif JL99 Group berkata, beliau bukan sahaja teruja membina projek kediaman mewah dengan harga murah tetapi juga sentiasa mahu membangunkan taman reakreasi seperti 99 Wonderland Park.

“Saya sudah melabur lebih RM80 juta da­ripada simpanan sendiri untuk membangunkan Taman 99 Wonderland yang terletak di Batu Caves sejak empat tahun, nampak seperti mudah tapi sebenarnya tidak.

“Bukan sahaja duit tetapi anda perlu bekerja keras bagi memastikan taman ini terus hidup dan dilengkapi dengan pelbagai teknologi serta apa yang kami uar-uarkan sebagai taman haiwan eksotik ini. Kita ada pelbagai spesis, kita juga bangunkan tempat ini dengan flora serta lampu-lampu LED pada malam hari,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Dr Zaliha Mustafa melawat haiwan yang terdapat di 99 Wonderland Park pada majlis pelancaran ‘Biggest Musical Water Fountain With Projection Mapping’ di 99 Wonderland Park, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 09 MAC 2024.