Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hari pertama pembukaan sekolah sesi akademik 2024/2025 bagi Kumpulan A iaitu di negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula pagi ini.

Manakala Kumpulan B – Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pula esok.

Sepanjang minggu pertama ini, Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneruskan pendekatan tidak mengadakan seisi pembelajaran pada minggu pertama persekolahan.

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan dalam kenyataan baru-baru ini berkata, pada minggu pertama itu, pengurusan sekolah perlu mengalu-alukan kehadiran dan menarik minat murid ke sekolah.

KPM juga telah mengumumkan panduan pemakaian sekolah yang berbeza-beza dalam lima hari waktu pembelajaran di sekolah.

Melalui arahan itu, pelajar perlu memakai pakaian seragam selama dua hari, baju kokurikulum (sehari) dan pakaian sukan (dua hari).

Arahan ini adalah menyeluruh kepada sekolah rendah dan sekolah menengah. – MalaysiaGazette