Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal diminta tidak membuat tuduhan mengenai isu pembentukan konsortium antara Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Global Infrastructure Partners (GIP).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setakat ini belum pun ada pengumuman mengenai penjualan kepentingan MAHB kepada GIP.

“Itu andaian Yang Berhormat. Yang kedua, keputusan semasa 2019, semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dulu, tak pernah dibincangkan dalam Kabinet.

“Machang boleh tanya Presiden parti (Tan Sri Muhyiddin Yassin), tak pernah dibincangkan dalam Kabinet. Tak pernah isu itu dibangkitkan dalam Kabinet pun.

“Yang ketiganya, isu pemilikan ekuiti, bagaimana dia (MAHB) nak strategik, kita tidak melibatkan Kementerian Pengangkutan. Syarikat MAHB ialah operator lapangan terbang. MOT (Kementerian Pengangkutan) ialah regulator (pengawal selia).

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Wan Ahmad Fayshal ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat peringkat Kementerian Pengangkutan, hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal bertanya mengenai pendirian Khazanah, KWSP yang ingin menjual sebahagian pegangan kepada syarikat GIP.

“Apakah Kementerian Pengangkutan bersetuju dengan cadangan ini sebab difahamkan saya zaman PH 1.0 dahulu tidak dipersetujui. Apa nilai tambah GIP kepada KLIA?,” soal Wan Ahmad Physal.

Pada minggu lalu, sebuah portal yang memetik sumber melaporkan Khazanah, KWSP dan GIP yang beribu pejabat di New York dipercayai berhasrat membentuk konsortium bagi memiliki kepentingan dalam MAHB.

Portal tersebut difahamkam jika semuanya berjalan lancar, perjanjian boleh dimeteraiseawal dua atau tiga minggu, yang mana ia mungkin melibatkan ekuiti.

Kini Khazanah menguasai 32.6 peratus kepentingan dalam MAHB manakala KWSP menguasai 7.06 peratus kepentingan dalam pengenali lapangan terbang itu.

Menurut Anthony, pihaknya tidak boleh campur tangan daripada segi struktur ekuiti MAHB dan ia terpulang kepada Khazanah.

Tambah beliau, pihaknya yakin dengan pengalaman dan profesionalisme Khazanah untuk membuat penilaian melibatkan perjanjian strategik.

“Dengan siapa mereka nak buat rakan strategik, itu terpulanglah. (Tetapi) setakat ini tiada langsung pengesahan bahawa Khazanah telah memasuki perjanjian mana-mana pihak.

“Kalau ada, sudah tentu akan ada pengumuman. Puas hati ya? Jadi tak payah spin (putar belit) lagi isu ini ya,” ujarnya.

Wan Ahmad Fayshal sebelum ada membangkitkan isu sama ketika sesi jawab lisan melibatkan Kementerian Luar Negeri.

Beliau mendakwa, GIP adalah milik penuh syarikat pelaburan Amerika Syarikat (AS), BlackRock Inc. yang mempunyai kaitan dengan Israel.

Malah katanya, BlackRock merupakan pemegang saham kepada semua syarikat pembekal senjata yang membunuh rakyat Palestin di Gaza. – MalaysiaGazette