Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta menghentikan serta-merta polemik berhubung kewujudan sekolah vernakular di negara ini kerana jika berterusan akan akan menganggu-gugat semangat perpaduan dan muhibah yang terbina dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, ras, etnik dan agama.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pada November 2023, mahkamah rayuan juga telah memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Mandarin serta bahasa Tamil di sekolah berkenaan adalah berperlembagaan.

Sebarang usaha memansuhkan kewujudannya adalah tidak wajar, malah ia adalah bertentangan dengan keputusan mahkamah yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

“Saya juga menyokong penuh pendirian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang telah menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia akan terus mempertahankan sistem pendidikan vernakular kerana ia selaras dengan Seksyen 28 (penubuhan Sekolah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan), Akta Pendidikan 1996.

“Selain itu, saya ingin tegaskan sekali lagi sekolah vernakular bukanlah satu faktor yang menjurus ke arah perpecahan, sebaliknya ia menjadi tarikan ke arah perpaduan. Data enrolmen pelajar bukan Cina di SJKC dan pelajar bukan India di SJKT turut menunjukkan peningkatan berterusan sejak tahun 2018 sehingga 2023.

“Ini menunjukkan perpaduan rakyat mampu dibina dimana sahaja jika ada kesungguhan oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aaron berkata, kementerian telah melaksanakan Wacana Defisit Sosial dengan menampilkan pakar-pakar bidang pada tahun lepas dan dapatan menunjukkan
kewujudan sekolah vernakular tidak boleh lagi dianggap sebagai pembuka ruang pemisah antara etnik.

Sebaliknya, ia perlu turut menjadi medan mengurus kerukunan sosial sama seperti peranan sekolah kebangsaan.

Mengurus kerukunan sosial ini bergantung kepada empat perkara, iaitu penyesuaian, matlamat, integrasi dan terpendam.

Justeru, sektor pendidikan vernakular perlu mampu menguruskan keempat-empat perkara ini bagi mewujudkan kerukunan sosial di sekolah mereka.

Tambahnya, Kementerian Perpaduan Negara telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pendidikan Rukun Negara melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Komunikasi yang bertujuan meletakkan kembali penghayatan asas dan prinsip Rukun Negara dalam sistem pendidikan negara.

Sehingga kini, kementerian dengan kerjasama KPM dan KPT telah menubuhkan sebanyak 6,849 Kelab Rukun Negara (KRN) dan 189 Sekretariat Rukun Negara (SRN) di seluruh negara bagi meningkatkan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan generasi muda yang mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan negara.

Maka tahun ini, kementerian menerusi agensi akan melipatgandakan usaha untuk meningkatkan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat supaya ia menjadi amalan hidup seharian. – MalaysiaGazette