Lelaki berkongsi makanan dengan pasangannya ketika berbuka puasa di Dataran Putrajaya. Gambar Hiasan.

GEORGE TOWN – Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengingatkan umat Islam negara ini agar tidak menjadikan iftar Ramadan sebagai pesta makanan yang menjurus kepada pembaziran.

Sebaliknya, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, umat Islam digalakkan berbuka puasa dengan cara bersederhana di rumah bersama keluarga atau masjid.

“Selari dengan tujuan umat Islam berpuasa bagi memburu ketakwaan dan pembaziran makanan sepatutnya tidak berlaku sekiranya kita benar-benar menghayati ibadah pada bulan Ramadan.

Mohideen Abdul Kader.

 

“Selain berbuka dengan keluarga, kita juga digalakkan menjemput jiran bukan Islam bagi berbuka puasa bersama agar dapat membina muhibah dan persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, jamuan dengan ‘100 hidangan’ di hotel dan restoran serta kepelbagaian dan kuantiti makanan yang berlebihan disediakan bagi iftar atau sahur, membawa kepada pembaziran.

Jelas beliau, umat Islam seharusnya mempunyai perasaan bimbang dengan pembaziran makanan yang berlaku peningkatan menjelang setiap bulan Ramadan.

“Berdasarkan pemeriksaan kita dapati banyak makanan yang dihidangkan tidak dimakan antaranya buah-buahan, daging ayam, satay, nasi beriani, sayur dan lain-lain.

“Mengikut data, rakyat Malaysia membazir 16,720 tan makanan setiap hari di luar Ramadan dan angka harian itu mencecah 19,228 tan semasa perayaan suci itu.

“Sedikit sebanyak angka itu mencerminkan imej tidak baik kepada umat Islam sekali gus menunjukkan kita bukan berpesta ibadah tapi turut berpesta pembaziran makanan,” kata beliau.

Dalam perkembangan sama, Mohideen turut meminta kementerian yang berkaitan menyiasat harga bufet Ramadan yang ditawar di hotel atau restoran pada harga tinggi.

“Mungkin kerajaan boleh menetapkan buffet Ramadan dengan harga patutan, misalnya tidak lebih daripada RM10 dengan lima jenis makanan menu sihat,” katanya.

Media tahun lalu melaporkan mengenai sisa pepejal khususnya membabitkan sisa makanan yang dikutip Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) ketika Ramadan yang semakin meningkat setiap tahun.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan ketika itu, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia dibuktikan menerusi jumlah kutipan sisa pepejal ketika Ramadan tahun lalu yang mencatatkan sebanyak 252,521 tan berbanding 208,143 tan pada 2019. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Disaat ekonomi yang suram, nilai ringgit yang terus merundum, berjimatlah dalam berbelanja. Elakkan berkunjung kekedai2 mahal seperti starbucks, 7 elevan, zuss, tealives dsb. Elakkan juga melancung ke Genting Higglands atau taman2 tema atau berkunjung kepusat2 membeli belah yang lain.

    Jom kita kempen berjimat cermat dibulan yang mulia ini.

Comments are closed.