KUALA LUMPUR – Jenayah siber dan penyalahgunaan bahan seperti dadah sudah memasuki fasa yang mencabar kewibawaan dan siap siaga pasukan polis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini merupakan fenomena global bukan sahaja di Malaysia.
Kementarian Dalam Negeri (KDN) berpendapat faktor pengalaman, keupayaan dan pengetahuan semata-mata adalah tidak memadai.
“Memang serangan siber lebih kerap di negara ini namun ia berada dalam radar pengesanan pihak berkuasa dan kita sedar ia berlaku dengan kerap dan ada keupayaan mengesannya.
“Tetapi cabaran besarnya adalah bagaimana mahu tanganinya, itu sebenarnya dalam usaha untuk dibincang di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN)” katanya dalam Majlis Polis Diraja Malaysia (PDRM) Special Dialogue 2024 di Maktab PDRM di sini pada Isnin.
Turut hadir dalam majlis itu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain serta Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Razarudin Husain.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin menyatakan keyakinannya program sesi Special Dialog PDRM kali ini yang disertai wakil dari 45 negara menyediakan platform duduk bersama dan memberi fokus kepada jenayah siber dan penyalahgunaan bahan serta perkongsian maklumat di peringkat antarabangsa.
“PDRM ambil inisiatif anjur dialog ini yang mana diwakili oleh delegasi yang datang dengan pengalaman dan kemahiran dan kepakaran berbeza sekali gus membolehkan perkongsian maklumat, kepakaran dan pengetahuan khusus untuk menangani dua permasalahan serius ini dikongsi dan dicapai,” ujarnya.
Justeru. kata Saifuddin, pihaknya juga sedang berusaha menjadikan jenayah siber sebagai satu entri baharu yang mana satu Rang Undang- Undang sedang dirangka untuk tindakan sejawarnya membabitkan dua permasalahan jenayah itu.
Katanya lagi, rang undang-undang khusus melibatkan jenayah siber sedang dalam proses untuk tindakan lanjut.
“Jenayah siber memang sangat mencabar dan jika ditanya apakah kita memerlukan undang- undang baharu jawapannya ya..ia sedang dalam pembikinan (rang undang-undang) serta kerajaan bersungguh-sungguh dan sangat serius untuk memerangi isu ini dan sedia menggunakan segala sumber yang ada ke arah itu,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette