Abdul Said mengadakan lawatan hari pertama persekolahan sesi 2024/2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad Badawi di Kepala Batas.

KEPALA BATAS – Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) akan berkerjasama dengan kerajaan negeri serta penghulu daerah tertentu bagi menangani isu keciciran pelajar di negeri ini.

Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Said Hussain berkata, isu keciciran pelajar selalunya membabitkan murid transisi daripada sekolah rendah yang menyambungkan pelajaran ke tingkatan satu di sekolah menengah.

Bagaimanapun, jelas beliau, jumlah keciciran pelajar di negeri ini bukan ditahap yang membimbangkan.

Abdul Said (tengah) bercakap pada sidang media.

“Antara faktor yang menyumbang kepada keciciran murid adalah transisi pelajar terbabit ke sekolah swasta, sekolah agama tanpa dimaklumkan kepada pihak sekolah dan ada juga kes tidak hadir kerana membantu ibu bapa.

“Dalam usaha menangani isu keciciran pelajar sektor pengurusan sekolah bersama sektor pembangunan murid sentiasa merangka program kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti setempat.

“Selain itu, kita juga akan melaksanakan program jerayawara dengan kerjasama kerajaan negeri serta penghulu daerah yang didapati keciciran pelajar tinggi bagi menimbulkan kesedaran dalam kalangan pelajar serta keluarga,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan hari pertama persekolahan sesi 2024/2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad Badawi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Abdul Said berkata, pihaknya menyasarkan sifat ketidakhadiran pelajar ke sekolah sepanjang bulan Ramadan.

Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang mengharapkan kehadiran penuh pelajar ke sekolah pada bulan Ramadan.

“Kalau kita lihat kehadiran pelajar hari ini penuh dan kita harap semangat ini diteruskan sehingga menghampiri Syawal nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Said berkata, seramai 217,886 murid dan pelajar dari 397 buah sekolah memulakan sesi persekolahan di negeri ini hari ini.

“Jumlah itu melibatkan 117,585 murid sekolah rendah manakala sekolah menengah seramai 100,301 pelajar.

“Murid tahun satu yang direkodkan mendaftar pada sesi persekolahan kali ini adalah seramai 21,053 melibatkan 270 buah sekolah dan pelajar tingkatan satu pula, seramai 21,034 dari 127 buah sekolah di seluruh Pulau Pinang.

“Selain itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Bumbung Lima turut memulakan operasi hari ini dengan jumlah kemasukan 80 pelajar, namun sekolah tersebut boleh memuatkan kapasiti 160 pelajar,” katanya. – MalaysiaGazette