SEREMBAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan merampas rokok putih dan minuman keras yang diseludup dengan nilai keseluruhan termasuk cukai berjumlah RM13.4 juta dalam dua serbuan di Selangor pada 26 Februari dan 1 Mac lepas.
Pengarahnya, Mohammad Hafiz Ishak berkata, dalam serbuan pertama di Pelabuhan Klang Utara pada pukul 12 tengah hari bulan lepas, pihaknya menahan dua lelaki berumur sekitar 40an selepas menemukan 97,200 tin dan 30,392 botol minuman keras pelbagai jenama dan saiz bernilai RM3.2 juta dalam tiga kontena.
Bercakap dalam sidang media di sini hari ini beliau berkata, minuman keras itu dipercayai dibawa masuk ke dalam negara dari Dubai dan China untuk dipasarkan di negara jiran.
Beliau berkata, dalam serbuan kedua pada kira-kira pukul 4 petang di sebuah premis sekitar Pandamaran awal bulan ini pula, pihaknya menahan lima unit kontena dan dua lori mengandungi 591,000 paket rokok putih pelbagai jenama dan 51,936 tin serta 5,576 botol minuman keras bernilai RM10.2 juta dipercayai cuba dilarikan cukai.
Katanya, susulan penenemuan itu pihaknya menahan seorang pemilik premis berusia 50an bersama dua pekerja warga asing dalam lingkungan 30an bagi membantu siasatan.