KUALA LUMPUR – Pemain tengah antarabangsa Filipina, Manuel Ott disahkan kembali menyertai Terengganu FC bagi saingan Liga Malaysia 2024/2025 musim ini.

Perpindahan Ott ke Terengganu telah diumumkan pihak kelab melalui satu video yang disiarkan di semua laman sosial rasmi pasukan.

Bekas kapten Kedah itu dijangka bakal membentuk gandingan mantap di bahagian tengah Terengganu bersama-sama Akram Mahinan dan arkitek pasukan, Nurillo Tukhtasinov.

Ott pernah beraksi di Terengganu pada musim 2022 sebelum berhijrah ke Kedah pada musim 2023 bersama-sama jurulatih, Nafuzi Zain.

Pada musim lalu, Ott telah beraksi 28 perlawanan bersama Kedah dengan berjaya meledak enam gol selain turut menyumbang tiga bantuan gol.

Ott kembali semula ke Terengganu selepas mencapai kata persetujuan bersama bekas majikannya, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk meninggalkan pasukan.

Kehadiran Ott ke bumi Terengganu bakal mengisi slot Asia Tenggara pasukan tersebut yang pada musim lalu diisi oleh penyerang Thailand, Adisak Kraisorn. – MalaysiaGazette