KUALA LUMPUR – Ringgit yang berada dalam trend jatuh selama 10 tahun dijangka dapat menongkah arus pada Jun ini.
Nanyang Siang Pau melaporkan, nilai ringgit berkait rapat dengan sentimen pasaran. Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2015 yang disusuli dengan pertukaran-pertukaran kerajaan telah menggugat keyakinan pelabur.
Walau bagaimanapun, Profesor Lim Hock Eam dari Universiti Utara Malaysia menjangkakan nilai ringgit akan naik pada Jun apabila Amerika Syarikat menghentikan usaha menaikkan kadar faedah sekali gus mendorong pelabur membeli ringgit.
Jelasnya, pasaran sebelum ini menyangkakan bahawa Amerika Syarikat akan mula menurunkan kadar faedah dan menyuntik momentum kepada kenaikan nilai ringgit.
“Namun begitu, kenaikan faedah yang dijangkakan di AmerIka SyariKat tidak berlaku, sekali gus memberi tamparan kepada ringgit dan nilai ringgit berbanding dolar Amerika sekali lagi merosot,” katanya.
Pasaran kini bagaimanapun menjangka ringgit akan jatuh sedikit lagi pada Mei sebelum memanjat pada pertengahan tahun.
Hock Eam berkata, 2015 merupakan tahun yang malang buat ringgit apabila pergolakan politik menyebabkan ringgit tidak lagi menjadi mata wang lindung nilai, tetapi menjadi mata wang berisiko dan keadaan itu berlaku selama 10 tahun.
“Jika penurunan kadar faedah berlaku di Amerika Syarikat, Malaysia dapat menikmati hasilnya. Namun ringgit tidak boleh kembali menjadi mata wang lindung nilai dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, mata wang lindung nilai yang paling mendapat sambutan pada masa ini adalah dolar Amerika dan dolar Singapura.
“Fundamental Malaysia adalah sangat kuat dan Malaysia memiliki sumber alam yang baik berbanding Singapura.
“Namun, dolar Singapura menjadi mata wang lindung nilai kerana mempunyai polisi mata wang dan kewangan yang stabil selama berdekad-dekad lamanya, sekali gus menyebabkan pelabur yakin dengan dolar Singapura,” katanya.
Dalam pada itu, Hock Eam berkata, tindakan kerajaan menyeru perusahaan Malaysia membawa masuk pelaburan ke Malaysia untuk mendukung nilai ringgit telah mula melihat hasilnya.
“Walaupun mula nampak hasilnya, tetapi Malaysia masih akan berdepan risiko apabila berlaku pergolakan mata wang,” katanya.
Tambahnya, Malaysia perlu proaktif dalam soal mata wang dan promosi pelancongan merupakan antara cara berkesan untuk mendapat pertukaran wang ke ringgit. – MalayiaGazette