Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan memaklumkan sejumlah 375 daripada 1,069 projek sekolah daif di seluruh negara sejak 2016 masih belum siap dibaiki.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memberitahu Dewan Rakyat, daripada 1,069 projek sekolah daif itu 216 daripadanya adalah di peringkat pra-pembinaan.

“Saya maklum prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dilaksanakan dan pihak Kementerian Pendidikan melalui KSU (Ketua Setiausaha) telah beri penjelasan dan kerjasama sebaik mungkin supaya PAC dapat buat satu laporan komprehensif dan lengkap.

“Sememangnya berkenaan dengan bilangan bangunan daif dalam sistem kementerian, angkanya akan turun naik yang mana sudah sampai ke skala 6 apabila kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan, maka ia akan diklasifikasikan skala 5 dan sebagainya,” katanya menjawab soalan lisan ketiga Dewan Rakyat hari ini.

Kah Woh sebelum itu menjawab soalan asal Yusuf Abd. Wahad (GRS-Tanjong Manis) yang ingin tahu mengenai kos yang dibelanjakan oleh kerajaan untuik membaiki sekolah-sekolah dafi di Parlimennya.

Dalam pada itu, Kah Woh berkata, terdapat projek-projek sekolah yang tidak dapat diselenggarakan lagi.

Oleh yang demikian Jabatan Kerja Raya (JKR) katanya akan mengklasifikasikannya sebagai bangunan daif.

“Namun kementerian komited memastikan kebajikan murid dan sekolah terjaga pada sepanjang masa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette