Bekas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman . Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman mengumumkan penyertaannya dalam PKR.

Beliau mengumumkan perkara itu di laman Facebook miliknya selepas majlis doa selamat dan penerangan isu-isu semasa di kediaman Menteri Besar Selangor, Amirudun Shari pada Ahad lalu.

“Dengan pengumuman terbuka oleh Datuk MB pada majlis ini, maka saya dan mantan ADUN Dengkil yang juga mantan ketua Armada Selangor saudara Adhif Syan telah diterima sebagai ahli PKR yang baru.

“Syukur, setelah saya tidak berparti lebih dari enam bulan,” tulisnya.

Muhammad Faiz menambah, ini langkah beliau serta rakan-rakan seperjuangan yang berjiwa marhaenis, nasionalis moderat dan pro integriti sepertimana roh asal reformasi ketika ia mula bergema di negara kita kira-kira 26 tahun lalu.

“Saya bertekad akan memperkasakan perjuangan asal PKR, matlamat cakna rakyat kerajaan negeri Selangor di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Amirudin serta agenda nasional Malaysia Madani di bawah teraju Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tegas mempertahankan sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan,” tulisnya. – MalaysiaGazette