Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak laporan Human Right Watch (HRW) bahawa depoh-depoh tahanan di negara ini sesak.

Malah menurut menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kadar tahanan yang berada di dalam depoh tahanan kurang daripada kapasiti sebenar.

“Sehingga 7 Mac, jumlah yang tinggal di depoh imigresen 13,635 tahanan. Nyata bawah kapasiti jadi laporan Human Right Watch tertolak dengan sendiri, biar angka berbicara.

“Adakah sesak, jawapannya tidak,” katanya menjawab sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin berkata demikian menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang ingin tahu tindakan kerajaan tentang laporan baru HRW yang mengkritik kerajaan menindas kumpulan pelarian di dalam pusat tahanan yang penuh sesak melebihi kapasiti dan wujud kematian dalam kalangan golongan rentan dan kanak-kanak.

Untuk rekod terdapat 20 depoh imigresen di seluruh negara yang berkapasiti 20,650 tahanan.

Sebelum ini, Saifuddin berkata beliau bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan HRW berhubung dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bahawa berlaku penderaan dan kematian di depoh tahanan Jabatan Imigresen (Imigresen).

Beliau berkata, menerusi pertemuan itu kelak, pihaknya berharap HRW dapat menunjukkan bukti serta senarai mereka meninggal dunia akibat didera ketika dalam tahanan seperti dalam laporan yang diterbitkan NGO itu, baru-baru ini.

Dalam jawapan sama, Saifuddin Nasution berkata, warganegara Myanmar adalah yang terbanyak berada di depoh tahanan dengan 4,541 orang, diikuti Indonesia 3,797, Filipina 2,914, Bangladesh 1,000, Thailand 329 dan lain-lain warganegara 1,054 orang.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution memaklumkan kerajaan mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM123 juta tahun lalu.

Mengulas lanjut, HRW turut gagal memberikan bukti mengenai dakwaan tahanan meninggal dunia akibat didera di mana-mana depoh tahanan.

“Tidak ada secebis bukti pun mereka kemukakan tapi laporan,” jawab Saifuddin Nasution lagi. – MalaysiaGazette