Mualaf yang mendapat tajaan umrah daripada Perkim Datuk Keramat.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Datuk Keramat menaja umrah tiga orang mualaf yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan sahsiah sepanjang tempoh pengajian dengan pihaknya.

Pengerusinya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, ia sebagai tanda penghargaan bagi menyuntik semangat golongan mualaf untuk terus komited dalam mempelajari Islam.

“Kesungguhan mereka ketika mengikuti kelas pengajian benar-benar memberikan keinsafan kepada kami khusunya tenaga pengajar.

“Atas sebab itu kami memutuskan untuk meraikan mereka dalam satu majlis seterusnya memberikan sedikit sumbangan bagi menyuntik semangat para pelajar lain untuk terus istiqamah dalam menuntut ilmu,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, PERKIM Datuk Keramat mengadakan Majlis Apresiasi Dakwah PERKIM Tahun 2024 yang disempurnakan oleh Penolong Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mohd Saiful Hafiz Abdullah.

Seramai 12 orang pelajar dan guru telah diberikan anugerah cemerlang di dalam majlis yang dihadiri sekitar 300 orang itu.

Menurut Mohamad Suhaimi lagi, ketekunan nereka ini telah membuatkan tenaga pengajar di PERKIM Datuk Keramat semakin bersemangat untuk memastikan golongan mualaf benar-benar memahami dan menghayati ajaran Islam yang sebenar.

“Majlis yang diadakan ini khusus untuk menghargai golongan mualaf yang menunjukkan kesungguhan dalam mendalami agama Islam melalui kelas-kelas agama yang dianjurkan.

“Melalui kelas-kelas agama yang dianjurkan seperti asas fardu ain, asas solat, mengaji dan sebagainya ada di kalangan mereka yang begitu tekun belajar dan ada yang dah boleh bersolat dan membaca al-quran dengan lancar,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mohamad Suhaimi turut mengalu-alukan kepada mereka yang berkeupayaan serta syarikat-syarikat korporat yang ingin menyalurkan sumbangan.

Menurutnya, sumbangan yang disalurkan akan membolehkan aktiviti dan program dakwah di Perkim Datuk Keramat dapat diteruskan sekaligus membantu golongan mualaf yang memerlukan bantuan. – MalaysiaGazette