KOTA BAHRU – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menyeludup 20,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM137,000 di kawasan parkir kereta Kompleks Kota Darul Naim, di sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penganggur berumur 28 tahun itu ditahan Ahad lepas semasa memberhentikan motosikalnya di parkir berkenaan, apabila polis menemukan 18,000 biji pil kuda seberat 2.1 kilogram dalam begnya.

Beliau berkata, lelaki itu kemudiannya membawa polis ke sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bunohan, Tumpat, dan susulan pemeriksaan polis menemukan sebuah kotak berisi satu bungkusan kertas surat khabar mengandungi 2,000 biji pil kuda seberat 227.4 gram.

“Lelaki itu direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan di bawah Seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini. – Bernama