KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menetapkan 7 Mei ini untuk pengurusan kes rayuan pengasas dan editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dua tahun atas kesalahan memfitnah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nordiana Abd Aziz menetapkan tarikh itu, semasa prosiding sebutan kes itu.
Peguam Guok Ngek Seong yang mewakili Rewcastle-Brown, ketika dihubungi Bernama berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan supaya prosiding rayuan itu dijalankan secara in absentia (tanpa kehadiran tertuduh), atas alasan anak guamnya yang merupakan wanita warganegara Britain tidak berada di Malaysia.
Sebelum ini perbicaraan kes itu di Mahkamah Majistret juga djalankan tanpa kehadiran tertuduh.
Pada 7 Februari, Rewcastle-Brown dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah atas pertuduhan memfitnah Sultanah Nur Zahirah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, Rewcastle-Brown yang beralamat di London, United Kingdom telah menulis sebuah buku bertajuk, The Sarawak Report-The Inside Story of 1MDB Expose, yang didakwa mengandungi tohmahan terhadap Sultanah Terengganu.
Tohmahan seperti yang digariskan iaitu the wife of the Sultan terhadap Sultanah Terengganu pada muka surat tiga, perenggan keempat dan baris ketujuh itu adalah suatu fitnah yang diketahui Rewcastle-Brown akan merosakkan nama Sultanah Nur Zahirah.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada 8 pagi, 14 September 2018 di Lot 60048, Taman Chendering Utama, di sini, mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali. – Bernama