Anggota penguat kuasa Maqis memeriksa kontena yang membawa muatan perut babi yang dikatakan tidak mematuhi syarat.

JOHOR BAHRU – Sebuah kontena membawa muatan perut babi dianggarkan seberat 25 tan bernilai RM400,000 yang diimport dari negara Sepanyol disita Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor, semalam.

Maqis menerusi kenyataan medianya hari ini berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kontena yang membawa masuk perut babi di tempat pemeriksaan import jam petang.

Hasil pemeriksaan mendapati konsainan terbabit tidak mematuhi syarat pengimportan kerana tiada label yang diletakkan pada setiap bungkusan daging babi berkenaan.

Menurut kenyataan itu, syarat permit menyatakan setiap daging hendaklah di label pada setiap bungkusan dengan meletakan nama, alamat, nombor loji dan tarikh penyembelihan.

Kesalahan dilakukan bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2), Akta yang sama kerana tidak mematuhi syarat import.

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, jelas Maqis, pihaknya sentiasa menjalankan penguatkuasaan undang-undang di semua pintu masuk negara bagi memantau setiap keluaran pertanian agar tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikro-organisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan  cemar.

Selain itu, langkah tersebut memastikan pihak terlibat mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.- MalaysiaGazette

 

Caption:Pihak berkuasa memeriksa kontenan yang membawa muatan daging babi yang dikatakan tidak mematuhi syarat.