KUANTAN – Sebanyak RM788,000 diperuntuk bagi golongan pengimarah masjid seperti imam, bilal, tok siak di Pahang sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sumbangan tersebut telah diluluskan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini.
“Golongan imam,bilal dan siak masjid di negeri Pahang bakal menerima sumbangan Aidilfitri sebagai tanda ingatan dan pengahargaan oleh kerajaan negeri melibatkan 1,203 imam, 1,075 bilal dan 1,065 tok siak.
“Selain itu program induk Ihya Ramadhan kerajaan negeri telah mendapat perkenan Tuanku Sultan Pahang untuk bersama,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut Syed Ibrahim, program berkenaan merupakan tanda kebersamaan baginda bersama kerajaan negeri dalam mengimarahkan Ramadan dan menyantuni rakyat dan melibatkan 12 buah masjid yang menjadi lokasi.
Beliau berharap agar pemerkasaan agama Islam, dakwah dan pendidikan Islam terus menjadi agenda penting untuk rakyat di negeri Pahang. -MalaysiaGazette