KEPALA BATAS – Sebanyak lima tan buah tembikai habis diagihkan dalam tempoh sejam kepada orang ramai bagi meraikan bulan Ramadan serentak dengan pembukaan Karnival Mahabbah di Bertam di sini hari ini.
Program bermula 3 petang itu merupakam inisiatif Karnival Mahabbah serta inisiatif tanggungjawab sosial pihaknya untuk berkongsi rezeki dengan komuniti setempat.
Penganjur program, Mohd Nazri Abdulla berkata, pemilihan tembikai ini bertepatan dengan keadaan cuaca ketika ini yang panas selain boleh dijadikan juadah untuk berbuka.
“Ini merupakan acara tahunan yang mana tahun lepas kita agihkan ayam segar manakala tahun ini kita buat sedikit kelainan dengan beri tembikai.
“Malah bagi menjayakan program ini sebanyak 1,000 tembikai telah ditempah sejak seminggu lalu dari sebuah ladang di Pendang, Kedah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, orang ramai beratur panjang bagi mendapatkan buah tembikai berkenaan dan habis diedarkan dalam tempoh sejam. – MalaysiaGazette