Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR – Parlimen perlu bebas mempunyai kuasa sendiri untuk menentukan hala tuju serta diberi kemudahan bukan sahaja kepada Yang di-Pertua Speaker dan Setiausaha Dewan Rakyat dan kakitangan Parlimen sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kebebasan itu juga perlu diberikan kepada semua ahli Parlimen, sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

“Kita nak tengok itu berlaku dalam zaman Kerajaan Madani. Itu sebabnya Kerajaan Madani, kami cakap kami buat.

“Saya pun ada bincang dengan Yang Berhormat Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta YAB Perdana Menteri baru-baru ini.

“Kalau boleh kita nak supaya dapat kita buat pindaan ini sekali dengan pindaan kewarganegaraan yang nak dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, sebab nak dapat 148 undi ke atas,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Raub-PH), Chow Yu Hui pada sidang Parlimen, hari ini.

Terdahulu Yu Hui bertanyakan tentang kesediaan kerajaan memberi peruntukan elaun pejabat dan pegawai kepada ahli Parlimen Backbencher dan pembangkang untuk mengupah penyelidik sendiri.

Azalina juga yakin Rang Undang-Undang Akta Perkhidmatan Parlimen akan mendapat undian sebulat suara daripada 222 ahli Parlimen kerana kemudahan itu akan dimanfaatkan bukan sahaja rakyat bahkan semua wakil rakyat.

“Kuasa ini pernah ada dalam negara kita, tetapi telah ditarik pada 1993 kerana pada masa itu menganggap Parlimen tidak boleh sangat bersuara, dan kita harap pada kali ini, kuasa ini diberi balik supaya Parlimen boleh bersuara.

“Sesiapa yang berada sebagai kerajaan mesti bertanggungjawab kepada rakyat melalui ahli Parlimen mereka tak kisah menyokong kerajaan ataupun ahli Parlimen pembangkang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette