Boeing

WASHINGTON – Seorang bekas pekerja Boeing yang terkenal kerana pernah mencetuskan kebimbangan mengenai piawaian pengeluaran firma itu telah ditemui mati di Amerika Syarikat (AS).

John Barnett bekerja untuk Boeing selama lebih 30 tahun sebelum bersara pada 2017 atas alasan kesihatan.

Pada hari-hari sebelum kematiannya, dia telah memberikan keterangan dalam tuntutan mahkamah pemberi maklumat terhadap syarikat itu.

Boeing menzahirkan rasa sedih dengan kematian Barnett.

Koroner daerah Charleston County yang mengesahkan kematian itu disebabkan akibat luka ‘menyakitkan diri sendiri’ pada 9 Mac lalu dan polis sedang menyiasat.

Dari 2010, beliau bekerja sebagai Pengurus Kualiti di kilang North Charleston yang membuat 787 Dreamliner, sebuah pesawat tercanggih yang digunakan terutamanya pada laluan jarak jauh.

Pada 2019, Barnett mendedahkan kepada media bahawa pekerja syarikat berkenaan yang bekerja di bawah tekanan sengaja memasangkan alatan sub-standard pada pesawat tersebut.

Barnett juga melahirkan kebimbangan tentang dorongan untuk mendapatkan pesawat baharu bermakna proses pemasangan tergesa-gesa dan keselamatan terjejas, namun telah dinafikan oleh Boeing.

Dia kemudian mendedahkan ada pekerja telah gagal mengikuti prosedur untuk mengesan komponen melalui kilang,menyebabkann komponen yang rosak hilang.

Beliau berkata dalam beberapa kes, bahagian sub-standard malah telah dikeluarkan dari tong sampah dan dipasang pada pesawat yang sedang dibina untuk mengelakkan kelewatan dalam pengeluaran.

Barnett juga mendakwa ujian ke atas sistem oksigen kecemasan yang akan dipasang pada 787 menunjukkan kadar kegagalan sebanyak 25%, bermakna satu daripada empat boleh gagal digunakan dalam kecemasan sebenar. – Agensi