Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia akan mengambil keterangan daripada  Felo Majlis Profesor Negara Profesor Emeritus, Datuk Teo Kok Seong dalam masa terdekat berhubung kenyataan beliau mengenai sekolah vernakular.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM sudah pun menghubungi tokoh akademik itu baru-baru ini untuk dirakam keterangannya.

“Tetapi, beliau (Kok Seong) telah memohon masa dari polis kerana mahu berbincang dengan peguamnya.

“Oleh demikian, kita akan menetapkan temujanji dengan profesor itu dalam tempoh terdekat,” katanya selepas dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Razarudin menambah, polis juga sudah selesai memanggil individu yang membuat laporan polis dalam isu berkenaan untuk membantu siasatan.

Kes berkenaan sedang disiasat polis di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum/menjenayahkan penyebaran berita palsu dengan niat untuk menimbulkan ketakutan orang ramai.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Kok Seong juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu di Dewan Rakyat bahawa kertas siasatan telah dibuka terhadap Kok Seong susulan kenyataannya berkaitan sekolah vernakular baru-baru ini.

Kok Seong dilaporkan mengeluarkan kenyataan menerusi di TikTok yang mendakwa sekolah jenis kebangsaan Cina menyebarkan sentimen perkauman terhadap orang Melayu.

Berikutan kenyataan tokoh akademik itu, Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok ketika perbahasan di Parlimen menggesa pihak polis menyiasat Kok Seong, selain mempersoalkan mengapa beliau tidak disiasat, dengan membandingkan siasatan polis terhadap pemimpin-pemimpin DAP seperti Tan Sri Lim Kit Siang dan Tony Pua.-MalaysiaGazette