Tangkap layar video tular di media sosial berkenaan aktiviti tangkapan ikan oleh sekumpulan lelaki yang didakwa menggunakan bahan letupan.

GERIK – Polis berjaya mengenal pasti lokasi dipercayai berlaku aktiviti pengeboman ikan di dalam kawasan Hutan Simpan Temengor dekat sini sebagaimana dalam video tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata, aktiviti berkenaan dipercayai dilakukan di kawasan pertemuan antara kuala Sungai Mangga dan Sungai Senga di hutan simpan tersebut.

Katanya, terdahulu pihaknya bersama sepasukan renjer Jabatan Perhutanan Negeri Hulu Perak menjejaki ke tempat kejadian dan berjaya menemukan kawasan kejadian sama dalam video tular, pada  3 petang Selasa.

“Mana-mana kumpulan atau individu dinasihatkan agar tidak memasuki kawasan hutan simpan tanpa permit daripada Jabatan Perhutanan dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram.

“Ia menyalahi undang-undang di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (pindaan 1985) dan Akta Perikanan 1992 kerana melakukan apa-apa kesalahan di dalam kawasan hutan simpan yang diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar beliau lagi, siasatan dan tindakan selanjutnya sedang dijalankan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan Jabatan Perikanan Negeri.

“Setakat ini pihak Polis Gerik belum menerima sebarang laporan berhubung aktiviti dalam video tular itu,” katanya.

Justeru beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu untuk menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di talian 05-7912222.

Terdahulu, tular di media sosial video pendek memaparkan sekumpulan lelaki melakukan aktiviti penangkapan ikan dipercayai menggunakan bahan letupan atau bom ikan di kawasan hutan di Gerik.

Menerusi video berdurasi 22 saat itu, sekumpulan lelaki berkenaan dilihat menunjukkan hasil tangkapan mereka dengan dipercayai mahu menunjuk-nunjuk jumlah ikan berjaya ditangkap jenis kelah, tengas dan lampam. – MalaysiaGazette