Razarudin Husain merasmikan Majlis Penerimaaan Rasmi Polis Strike Craft Rigid Hull Assault Boat (RHAB) Pasukan Polis Marin di Hotel Berjaya Waterfront petang ini.

JOHOR BAHRU – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) memerlukan pertambahan anggota dan pegawai seiring dengan isu global rentas sempadan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini kedua-dua jabatan itu mempunyai bilangan anggota yang terhad berbanding jabatan lain di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bagaimanapun jumlah keseluruhan keanggotaan PDRM dengan kepadatan penduduk kita masa kini masih mencukupi. Ianya seperti nisbah seorang polis bersamaan dengan 275 penduduk.

“Pada saya, kalau nak dibesarkan di JSJK libatkan global isu scammer dan jenayah siber, isu global bukan Malaysia sahaja tetapi seluruh negara.

“JSJK ini mempunyai 2,100 pegawai dan anggota JSJK kalau kata penambahan di jabatan ini dulu, kemudian narkotik sebab pegawai dan anggota tidak lebih 5,000 seluruh negara berbanding JSJ lebih 14,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Penerimaaan Rasmi Polis Strike Craft Rigid Hull Assault Boat (RHAB) Pasukan Polis Marin, di sini, hari ini.

Menurut Razarudin, berdasarkan garis panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seorang anggota dinisbahkan 330 penduduk.

Pada majlis tersebut, Pasukan Polis Marin (PPM)  menerima empat lagi bot RHAB yang dilengkapi senjata api berat bagi membolehkannya meningkatkan kemampuan mengawal sempadan perairan negara.

Jelas beliau, secara keseluruhan sebanyak 10 RHAB bernilai RM32.8 juta telah diterima PDRM. – MalaysiaGazette